KEMISKINAN BUKAN UNTUK DIBASMI
Dalam hidup ini, banyak perkara yang
manusia suka dan banyak perkara yang manusia benci. Yang manusia suka
dia akan usahakan supaya diperbanyakkan lagi. Yang dibenci, kalau boleh
hendak dibasmi dan dihapuskan.Di antara perkara yang manusia tidak suka
ialah kemiskinan.Maka banyaklah suara dan usul diketengahkan untuk
membasmi kemiskinan. Malahan telah diadakan program khas untuk tujuan
membasmi kemiskinan ini.
Hakikatnya, bukan sahaja manusia di zaman ini yang bencikan kemiskinan.
Manusia di sepanjang zaman bencikan kemiskinan. Berbagai usaha telah
dibuat oleh manusia dari zaman silam sama ada secara individu mahupun
secara berkelompok untuk menghapuskan kemiskinan di dalam masyarakat dan
tamadun mereka. Dalam hal ini manusia belum pernah berjaya.
Justeru itu soal yang timbul dalam fikiran kita bolehkah fenomena
kemiskinan ini dibasmikan? Bukankah ia satu sunnatullah yang tidak akan
berubah-ubah. Apa akan terjadi pada sesuatu masyarakat yang tidak
mempunyai orang miskin dan semua ahlinya kaya belaka? Apakah hikmah
Allah mencipta kemiskinan di kalangan manusia?
Yang sebenarnya, dalam sesuatu masyarakat tidak boleh semuanya miskin.
Kelak tidak akan ada orang yang menjadi pengusaha yang mengeluarkan
modal untuk perdagangan,industri, pertanian dan perniagaan. Maka ekonomi
tidak akan tertegak sedangkan ia adalah nadi bagi kehidupan lahiriah
manusia. Tidak boleh pula kesemua orang dalam masyarakat itu kaya. Kelak
tidak akan ada pula buruh dan pekerja yang menggerakkan industri,
pertanian dan perniagaan. Jelaslah bahawa orang miskin dan orang kaya
itu saling bantu-membantu dan saling perlu-memerlukan di dalam
menegakkan sistem hidup bermasyarakat dan ekonomi. Kalau semua ahli
masyarakat miskin maka masing-masing akan hidup melarat tanpa ada
sebarang kegiatan ekonomi. Masing-masing akan cari makan untuk kehidupan
sendiri-sendiri. Kalau semua ahli masyarakat kaya pula maka kekayaan itu
tidak ada sebarang makna. Wang tidak dapat digunakan untuk membeli
apa-apa.Beras tidak ada. Ikan tidak ada. Buah-buahan dan sayursayuran
tidak ada. Tidak akan ada petani yang menanam hasil pertanian dan tidak
akan ada nelayan yang pergi ke laut menangkap ikan. Tidak ada tukang
buat rumah. Tidak ada buruh membina jalan.
Malahan tidak akan wujud sebarang kemajuan dan pembangunan di dalam
masyarakat yang semua ahlinya orang kaya belaka. Dengan adanya miskin
dan kaya dalam sesebuah masyarakat maka akan tercetuslah segala perkara
yang perlu dalam kegiatan ekonomi seperti pengusaha, kewangan dan modal,
tenaga buruh, tenaga pengurusan, bahan mentah, modal tetap, pembeli dan
pengguna. Memang Allah wujudkan miskin dan kaya itu supaya dapat
hidup bersama-sama, bergantung dan perlu-memerlukan antara satu sama
lain. Supaya terjadi interaksi di dalam masyarakat yang boleh
mencetuskan kemajuan dan tamadun.
Di atas itulah Allah adakan pula syariat supaya orang kaya dan miskin
dapat hidup dalam harmoni dan berkasih sayang. Yang miskin disuruh sabar
dan jangan meminta-minta. Yang kaya disyariatkan supaya mengasihi,
membela dan membantu yang miskin melalui zakat, sedekah dan sebagainya.
Rezeki yang Allah kurniakan cukup untuk semua manusia. Hanya ia
disalurkan melalui orang-orang kaya untuk diratakan. Maka celakalah
orang-orang kaya yang tidak melaksanakan amanah ini dan mengumpulkan hak
Allah itu untuk diri mereka sendiri sahaja.
Oleh yang demikian, membasmi kemiskinan bukan carauntuk menyelesaikan
masalah. Kemiskinan akan tetap wujud sampai hari Kiamat. Apa yang perlu
dibuat ialah laksanakan syariat Allah dalam mengendalikan harta dan
kekayaan.Sempurnakan hak fakir miskin supaya mereka senang dalam
kemiskinan mereka. Supaya timbul kasih sayang mereka terhadap
orang-orang kaya. Orang miskin itu sebenarnya tidak miskin. Hanya rezeki
dan hak mereka berada di tangan orang-orang kaya. Jangan mereka
dikhianati dan dizalimi dengan menahan hak mereka itu.
Rezeki yang Allah turunkan ke bumi bagi manusia adalah ibarat hujan yang
airnya bertakung di tempat tadahan. Orang-orang kaya ibarat
saluran-saluran paip yang besar yang membawa air tersebut. Orang-orang
miskin yang ramai ibarat kepala-kepala paip yang kecil atau pancur yang
terpaksa mereka buka untuk mendapatkan air.
Selagi orang-orang kaya mengambil air setakat mana yang mereka perlu dan
menyalurkan selebihnya, maka selagi itulah kepala-kepala paip kecil atau
pancur akan mengeluarkan air apabila dibuka. Tetapi kalau air ini
disekat, maka kepala-kepala paip kecil atau pancur akan kekeringan.
Punca masalah dalam masyarakat bukan orang miskin tetapi orang kaya yang
tamak, yang tidak bertanggungjawab dan yang mengumpulkan kekayaan
melebihi dari apa yang mereka perlu. Mereka abaikan tanggungjawab mereka
terhadap orang miskin dan terhadap masyarakat. Mereka ingat kekayaan
mereka itu hak mutlak mereka dan bukan amanah dari Tuhan. Sebenarnya,
kalau kita hendak membasmi kemiskinan, mudah sahaja. Basmikan orang kaya.
Haramkan orang menjadi terlau kaya dan salurkan kekayaan yang lebih itu
kepada orang miskin. Dalam erti kata yang lain, baiki saluran yang
tersumbat.
Sumber :
http://wahabamri.blogspot.com
|