|
|
|
KEBAJIKAN VS CARI MAKAN
Sumber:
http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_b80ded88-7f000010-c0e88800-ebb99b6b
Susah nak sentuh bab kebajikan ni. Nak cerita nanti orang kata kita
hendak mendabik dada. Tak cerita banyak pula orang tak tahu
cerita-cerita tentang trend membuat kebajikan dewasa ini. Ada yang
membuat kebajikan untuk cari makan. Ada pula yang suka nak buat
kebajikan tetapi terpaksa pula disulami dengan mencari makan,, lain tu
bunyai nya. Tetapi tak kurang juga yang benar-benar gemar membuat
kebajikan.
Selama hampir 17 tahun terlibat di dalam kegiatan kebajikan ini banyak
pengalaman yang saya lalui dan tempuhi. Tetapi ayat yang paling kerap
saya dengar “ charity begins at home ”. Kalau nak buat kebajikan sampai
anak isteri atau anak suami tak makan maka lupakanlah. Itulah lebih
kurang makna bahasa Inggeris yang tertera di atas.
Suatu perkataan yang mudah di dengar dan sukar untuk dipraktikkan
sesetengah pihak. Sebut nak buat kebajikan semua ingat mesti ada duit
barulah boleh buat kebajikan. Sedar tak sedar syukur Alhamdullillah
semakin ramai rakyat kita telah menjadi koperat dan kaya-raya. Oleh itu
banyaklah peluang untuk sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang ingin
membuat kebajikan.
Bantuan jangan cakaplah “ in cash or kind ” memang mudah dipungut di
sana sini. Tetapi apa yang menyedihkan sekarang ini adalah apabila
kegiatan kebajikan ini dijadikan satu peluang untuk mencari makan.
Banyak orang telah menggunakan pentas kebajikan ini sebagai satu peluang
untuk berniaga. Ia adalah satu kebaikan sekiranya perniagaan tersebut
adalah untuk menambah tabung kebajikan itu sendiri, namun ia akan
dilihat sebagai satu perkara yang tidak amanah apabila kegiatan
perniagaan atas nama kebajikan itu digunakan untuk menampung tabungan
sendiri (cari makan).
Sana sini kita sering mendengar orang menggunakan beberapa persatuan
atas nama kebajikan seperti anak yatim, anak kurang upaya dan rumah
orang tua dan pelbagai lagi tidak terkecuali badan-badan sukarela lain
yang menganjurkan pelbagai kerja amal. Ada yang benar-benar beramal
tetapi tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menggunakan
tabungan amal tersebut untuk kepentingan sendiri.
Bagi mereka yang tidak menggunakan badan amal ini untuk kepentingan
sendiri terdapat juga yang membelanjakan tabung amal ini dengan borosnya
ke atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Alasannya adalah
“bukan duit aku….untung rugi peduli apa”.Inilah yang tidak kita ingini,
tetapi masih berlaku. Keewangan tersebut dibelanjakan kononnya untuk
menambahkan tabungan perniagaan akhirnya perniagaan lingkup, wang yang
telah didermakan oleh orang ramai turut selesai.
Semakin hari semakin banyak yang saya dengar dan alami sendiri,
bagaimana berlakunya penyalah gunaan keewangan di dalam badan-badan
kebajikan. Sesetengah badan kebajikan ini mencecah hampir jutaan ringgit.
Ada yang mendatangkan menafaat untuk kbadan tersebut dan tidak kurang
juga yang mendatangkan menafaat kepada tubuh badan itu sendiri. Dalam
seribu mungkin satu badan kebajikan yang benar-benar menampung keperluan
mereka yang kurang bernasib baik.
Saya ingin mencadangkan agar satu akta oleh kerajaan ditetapkan kepada
mana-mana syarikat yang ingin menggunakan nama mana-mana pertubuhan
kebajikan hanya dibenarkan mengambil peratusan yang minimal sebagai
pengurusan majlis amal tersebut. Sememangnya baru-baru ini Kementerian
Wanita telah mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut, namun
ianya harus diletakkan akta serta hukuman ke atas mana-mana syarikat
yang melanggar peraturan tersebut. Tujuannya adalah untuk menjaga
kepentingan tabung kutipan yang dibuat atas nama mana-mana badan
kebajikan di Malaysia.
Selain dari itu badan kerajaan juga harus lebih agresif dalam memantau
beberapa rumah amal khususnya yang di dirikan tanpa naungan sebarang
Pertubuhan namun bebas mengumpulkan dana bagi rumah amal tersebut.
Sememangnya benar kebanyakkan rumah amal yang melibatkan anak yatim
khususnya masih banyak yang tidak mempunyai sebarang pertubuhan mahupun
akaun khas bagi pengumpulan dana anak-anak yatim tersebut.
Melalui pengalaman saya bukan semua rumah amal yang tidak didaftarkan
itu sengaja tidak mahu mendaftarkan kegiatan mereka. Ini adalah kerana
kebanyakkan pengasas rumah amal terutamanya anak-anak yatim ini terdiri
dari mereka yang sudahpun lanjut usia dan tidak berpendidikan.
Kementerian Kebajikan seharusnya memantau rumah kebajikan ini dan
membantu untuk mendaftar serta memberi tunjuk ajar kepada pengasas ini
menjalankan kegiatan mereka mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Sememangnya agak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa
kebanyakkan rumah amal yang didirikan hanya seperti “menternak” (sekadar
menampung makan dan pakai) tetapi tidak ditekankan ilmu pendidikan dan
masa depan anak-anak ini.
Orang ramai juga seharusnya lebih memainkan peranan di dalam masalah ini.
Kebanyakkan orang ramai yang datang ke rumah kebajikan terutama
anak-anak yatim amat gemar memberi makanan, pakaian dan sebagainya semua
di dalam bentuk kebendaan. Namun amat kurang yang datang untuk membiayai
pendidikan anak-anak tersebut.
Beratus komputer telah dihantar ke rumah kebajikan ini dan berpuluh buku
juga sering didermakan, tetapi tenaga pengajar tidak pernah di
sumbangkan. Akhirnya computer yang dihantar seperti “tikus tengok besi”
kata orang tua-tua. Tikus kalau jumpa besi dah tentu tak boleh makan
maka makanlah pengat….sendiri mau ingat.
Bila berlaku masyarakat yang gemar berbuat kebajikan dengan hanya
sekadar menghantar derma kebendaan maka alas an yang diberi mudah sahaja
“sibuk cari makan”. Ramai orang tidak mengetahui bahawa masyarakat
sekarang lebih pemurah memberi harta benda dan wang ringgit dari masa.
Saya pernah menganjurkan program “ Time and Talent ” di rumah anak yatim,
di mana saya dan beberapa sahabat pergi ke taman-taman perumahan untuk
memohon agar masyarakat di situ dapat memperuntukan masa untuk anak
yatim kami.
Saya kira kalau 1000 orang penghuni mendermakan satu jam kepada rumah
anak-anak yatim maka dalam satu jam tersebut sudah tentulah anak-anak
yatim akan mendapat beberapa jam perhatian khusus untuk membentuk akhlak
dan memberi secebis kasih saying juga ilmu kepada mereka untuk
dimenafaatkan. Namun program saya gagal kerana ia tidak berpanjangan
akhirnya benda juga sampai ke rumah anak yatim kami sebagai pengganti
diri.
Anak-anak yatim merupakan satu-satunya badan kebajikan yang saya berikan
tumpuan sepenuhnya selama 17 tahun dan saya cukup masak dengan
permasaalahan mereka dan juga badan kebajikan ini. Antara masalah yang
telah saya nyatakan adalah samada ditubuhkan untuk cari makan atau sibuk
cari makan sehingga akhlak mereka tidak diperdulikan.
Kerajaan terutamanya Kebajikan Masyarakat seharusnya mengadakan
kempen-kempen kepada masyarakat untuk lebih prihatin dalam meluangkan
masa bersama-sama badan kebajikan ini. Apa yang menyedihkan ialah derma
yang berbentuk keewangan atau apa sahaja datang dengan cara bermusim.
Seperti bulan Ramadhan dan perayaan banyaklah rezeki yang melimpah ke
rumah-rumah kebajikan. Hari-hari lain……makan pengatlah.
Kerajaan juga harus mengadakan pemantauan yang ketat ke atas setiap dana
yang diberikan kepada rumah-rumah kebajikan. Mereka juga harus diberikan
syarat untuk menghantar laporan audit kepada Kementerian Kebajikan
Masyarakat ke atas setiap dana yang dikeluarkan, haruslah dilapurkan
secara terperinci ke mana wang tersebut dibelanjakan. Adakah untuk
kebajikan atau cari makan?
Saya merasa amat kagum apabila melihat masyarakat Barat yang senantiasa
melakukan acara-acara kebajikan dengan penuh dedikasi dan amanah.
Sepanjang pengalaman saya ke luar Negara dan bergaul dengan badan
kebajikan Katholik khususnya banyak ilmu yang saya pelajari dari mereka.
Pengurusan dana mereka begitu sistematik dan amanah.
Tidak hairanlah sekiranya kita suatu hari nanti berniaga terpaksa
menggunakan dana luar Negara tanpa kita sedari bahawa dana tersebut
datang dari kelompok katholik ini. Pengurusan keewangan mereka begitu
terancang dan menyerap sampai keseluruh pelusuk dunia. Inilah yang
dikatakan agama Islam milik kita akhirnya Ad-Din milik bangsa lain.
Sedih tetapi benar. Manakah intelektual kewangan negara kita yang begitu
terserlah kewibawaan mereka mengurus dana? Jawapannya sibuk cari makan.
Kebajikan bukanlah hanya sekadar memberi wang dan harta benda tetapi
juga masa, tenaga dan keupayaan. Saya harap suatu masa nanti para-para
intelektual ini mahu turun ke padang kebajikan untuk memberikan masa dan
tenaga serta kebolehan mereka untuk menjadi penasihat kepada badan-badan
kebajikan dalam menguruskan dana kebajikan ini dengan lebih baik.
Dana negara untuk dunia apa salahnya sesekali libatkanlah juga diri
untuk menguruskan dana untuk akhirat. Jangan hanya menanggap bahawa
kerja kebajikan ini hanya untuk mereka yang pencen. Tak kan lari gunung
dikejar….Kalau nak cari makan pun berapa banyak yang kita boleh makan.
Bagi-bagilah sikit masa untuk kebajikan dan seimbang-seimbangkan. Rezeki
sememangnya perlu dicari, namun ianya juga adalah ketetpan Allah. Buang
masa berniaga bagai nak rak pun kalau Allah kata bukan rezeki, bukan
rezeki juga. Oleh itu bahagi-bahagilah sedikit masa setelah Allah
memberi ilmu. Menafaatkanlah bukan hanya sekadar mencari makan tetapi
juga membuat kebajikan.
Fahamilah nasihat dari tokoh Islam ini baik-baik. Bukanlah anjuran
beliau untuk membuang dunia dan mengambil hanya akhirat tetapi apa yang
hendak beliau nasihatkan ini adalah dalam maksudnya. Semoga Allah
membuka minda dan memberi petunjuk kepada siding pembaca akan nasihat
yang begitu bermakna kepada kita. Tokoh ini adalah ABU DARDA’R.A :
“Lebih suka aku mempelajari suatu masalah, daripada mengerjakan solat
sepanjang malam.”
“Orang-orang berilmu dan orang yang menuntut ilmu bersyarikat dengan
kebajikan. Selebihnya adalah manusia-manusia bodoh yang padanya tak ada
kebajikan”.
“Hendaklah engkau menjadi orang berilmu atau yang belajar atau mendengar
ilmu dan janganlah engkau menjadi orang yang keempat ; yakni orang yang
tak termasuk salah seorang dari kelompok orang tersebut agar engkau
tidak binasa.”
“Aku berkeinginan untuk menghimpunkan antara perniagaan dan ibadah,
tetapi keduanya tidak dapat berkumpul, maka aku memilih ibadah dan
meninggalkan perniagaan.”
“Orang ‘alim (pengajar) dan orang yang belajar (murid) sama-sama
mendapat ganjaran, kerana sesungguhnya , manusia terdiri atas dua
golongan iaitu pengajar dan pelajar, selebihnya tidak berfaedah.”
Itulah nasihat yang begitu mendalam maksudnya hayatilah ia. Di dalam
dunia kebajikan ini bukanlah sekadar mempunyai wang, harta dan kekayaan
dianggap rezeki untuk kita beramal. Namun segala apa yang telah Tuhan
anugerahkan kepada kita semua termaktub di dalam rezeki juga seperti
kesihatan, tenaga, masa dan ilmu semuanya itu juga boleh dimenafaatkan
di dalam dunia kebajikan.
Tak payah tunggu kaya harta benda untuk membuat kebajikan dan bagi yang
jutawan juga belum tentu sekadar menghantar kebendaan sudah dapat
memadamkan segala perkara haram yang dilakukan. Kalau bukan dari hasil
rasuah dan riba Alhamdulillah. Kalau tenaga sudah tentu halal apa lagi
jika diderma itu ilmu. Jadi bagi mereka yang ada ilmu dan masa elok-elok
lah dimenafaatkan kepada kebajikan dan bukan sekadar mencari makan.
|
|