|
|
|
BERSYUKUR ITU LEBIH BERAT
DARI BERSABAR
Firman Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai
sifat syukur, iaitu terjemahannya;
“Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan
kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka
nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang
lain.”
Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati
bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji
dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti
datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima
kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya,
apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini,
ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian
kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita
perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima
kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.
Di antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat, bersabar itu
lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan.Ini kerana dalam bersabar,
hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan penderitaan.
Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang.
Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah kerana
hati manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada tekanan
atau penderitaan.
Apakah ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau
benar kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah
orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya.
Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al Quran:
Maksudnya:
“Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”
(Surah As-Saba’: 13)
Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila
mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan
‘Alhamdulillah’. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur
dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi
dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi
tuntutan tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka
ditakuti ucapan ‘Alhamdulillah’ itu hanyalah untuk mempermain- mainkan
atau mempersendakan Allah sahaja.
Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala
bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Di
samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah
memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka
dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur
itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.
Adapun syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh lidah,
yang dirasakan atau ditasdikkah di dalam hati, dan yang dilaksanakan
dalam perbuatan. Di samping mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dan di samping
merasakan di hati bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat tersebut,
nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Inilah
hakikat kesyukuran yang sebenarnya.
Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah
untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk
kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala
bentuk nikmat Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan
Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.
Firman Allah :
Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas
nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau
kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah
Ibrahim: 7)
Syukur seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan
tambah lagi nikmat-Nya, untuk ‘cover’ balik apayang dikorbankan ke jalan
Allah itu.
Justeru itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan
ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan
segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu
perlu ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah
bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan
yang sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini
berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat
daripada Allah.
Dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain
dari menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat kurniaan
Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat
menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.
Barulah kita faham kenapa Allah berfirman bahawa sedikit sekali
hamba-hamba-Nya yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri bukanlah
suatu perkara yang mudah.
Fahamlah kita sekarang, bersyukur itu rupanya lebih berat dari bersabar.
|
|