|
|
MADAH HUKAMA' 3
MADAH 2
MENENTANG KEBENARAN: Orang yang menentang kebenaran yang dia tahu orang itu membawa kebenaran tapi kerana hasad dengki. Dia menentang orang itu. Biasanya orang ini mudah jatuh kepada sifat munafik. Manakala orang yang kenal orang yang membawa kebenaran, tapi menentangnya kerana hasad dengki, orang ini lebih jahat daripada seseorang yang menentang pembawa kebenaran kerana jahil tentang kebenaran yang dibawanya. Orang ini setelah dia kenal kebenaran orang itu dia akan menyokongnya.
KESALAHAN: Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri. Kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.
TUJUAN BERAMAL: a. Orang yang bergantung kepada amal ibadah, ibadahnya menghijab di antaranya dengan Allah. b. Ibadah biar sedikit cukup, tapi terasa, berjiwa, puas dan memberi kesan kepada jiwa. c. .Kita beribadah dengan tujuan menyembah Allah yang memang patut disembah. Jangan pula kita beribadah itu untuk menyembah nafsu kita dengan cara membina mazmumah. d. .Kalau orang alim tidak sedar akan kealimannya (tidak mengaku alim) ini petanda baik, tapi kalau orang bodoh tidak sedar akan kebodohannya ia sangat pelik. e. Seseorang yang merasa sudah beramal kerana memang amalannya banyak,itu maknanya dia tenggelam dalam kebesaran dirinya dan dia telah syirik khafi. f. Ada orang sembahyang banyak tapi ingat Allah sedikit. Ada orang yang boleh sembahyang sikit tapi ingat Allah banyak. Pilihlah yang kedua kerana tujuan sembahyang ialah untuk mengingati Allah. g. Seseorang yang merasa belum beramal sedang amalannya sudah cukup banyak, tandanya dia sudah tenggelam dalam kebesaran Allah. h. Seseorang yang merasa sudah beramal kerana memang amalannya banyak, itu maknanya dia tenggelam dalam kebesaran dirinya dan dia syirik khafi. i. Apabila terasa diawasi Tuhan, rasa berdosa setiap masa, jiwa derita dengan dosa,rasa syukur dengan nikmatNya, rasa kurang beramal,rasa hina diri dengan Tuhan, itulah tanda sudah memiliki sifat kehambaan.
ILMU dan AKHLAK: a. Banyak orang boleh memberi ilmu, tapi tidak mampu memberi didikan. Justeru itulah di segi pelajarannya cemerlang, tapi dari segi akhlak malang.
b. Untuk mendapat ilmu susah. Bila dapat, mengamalkannya lagi susah. Yang paling susah setelah beramal bagaimana untuk menjaga amal jangan sampai kedatangan ujub, riak, sum'ah dan lain-lainnya tapi segala-galanya akan jadi mudah bila Allah pimpin kita.
c. Tidak mesti benda yang besar itu bernilai atau yang paling bernilai. Di dunia ini benda yang paling bernilai dan mahal, ialah benda yang paling kecil iaitu intan dan mutiara. Begitulah amal ibadah di sisi Allah itu, Allah tidak mengukur tentang banyak atau dipandang besar, tapi amal ibadah yang paling ikhlas yang kita buat, sekalipun ibadah itu kecil sahaja pada pandangan mata manusia
|
|
|
|